Friday, September 21, 2007

Anak-anak Kita

Rata-rata membicarakan kisah Allahyarham Adik Nurin Jazlin. Masyarakat Malaysia sedih bercampur marah atas apa yang berlaku. Apa yang terjadi kepada Arwah Adik Nurin sudah ditakdirkan Allah. Ajalnya sudah tertulis (jika benar sekecil itu adalah Adik Nurin). Tetapi kita yang masih hidup dan memiliki anak-anak yang comel, kenalah mengambilnya sebagai ikhtibar.

Setakat marah atas apa yang berlaku tetapi masih leka dalam menjaga anak-anak kita..sebenarnya tidak membawa banyak makna. Di dunia kini kita sebagai ibu-bapa seharusnya lebih peka dengan keadaan sekeliling. Walaupun negara telah mencapai 50 tahun kemerdekaan, hakikatnya masalah jenayah tidak pernah merdeka.

Sekeliling kita di penuhi kisah jenayah yang tidak henti, penjenayah semakin ramai dan lebih menyakitkan hati apabila ia melibatkan sicomel yang belum tahu rakusnya dunia ini. Sicomel yang mudah dibeli dengan gula-gula atau coklat. Sudah banyak kisah kematian kanak-kanak kerana kes rogol dan dera, tapi apalah yang masyarakat kita telah dan mampu buat. Kita seolah-olah membiarkan semua kisah itu berulang dan berulang.

Sebagai ibu-bapa janganlah dibiarkan anak-anak kita yang comel itu kemana-mana tanpa peneman terutamanya orang yang lebih dewasa untuknya. Sama ada ke kedai, ke sekolah apatah lagi ketempat awan yang terlalu ramai orang. Sekiranya kita percayakanya dan membiarkan semua itu pasti ia mengundang perkara buruk kepada anak-anak kita. Berapa ramaikan kanak-kanak yang hilang dan tidak ditemui sampai kini. Hidupkah atau matikah?Kalau hidup..dimana? dan kalau mati..mana mayatnya? Sungguh sedih.

Negara kita semakin moden, di penuhi teknologi yang canggih manggih dan dengan itu juga keadaan semakin tidak selamat untuk diduduki. Kalau 20 tahun lalu anak-anak sebesar Arwah Adik Nurin tidak perlu dirisaukan sangat, bahkan penulis ketika itu sering berulang-alik menaiki basikal kesekolah berbatu-batu jauhnya, melewati kawasan kebun dan hutan..tetapi hati ibu-bapa tak pernah bimbang...perogol bunuh, penculik atau penjenayah bersiri serta perogol bermodus bergilir-gilir. Peliknya kenapa dahulu penjenayah begini kurang kewujudannya. Penjenayah yang gila dan mengila sehingga tidak mengenal tahap kemanusiaan.

Penulis berharap para ibu-bapa lebih menjaga tahap keselamatan anak-anak anda. Bimbanglah dengan keadaan ini. Ambillah ikhtibar. Kalau membawa anak ke pasaraya jangan biarkan dia keseorangan tanpa perhatian. Jenayah dan penjenayah boleh berada dimana-mana tanpa kita sedar. Jangan nanti menyesal tak sudah hanya kerana kelekaan kita sebagai pemegang amanah yang tuhan telah beri.

Jagalah anak-anak kita dengan sebaiknya kerana tidak semua keluarga di kurniakan anak-anak comel yang kita miliki.

Kepada Arwah Adik Nurin Jazlin..Alfatihah.


"..penulis selalu menjerit macam tarzan kalau bawa anak ke pasaraya hanya kerana ingin memastikan anak sentiasa berada di sisi. Kalau nak ikutkan hati malu tetapi itu satu tanggungjawab."

No comments: